Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukma Selangor 2026 di Shah Alam, Selangor kelmarin.
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 memutuskan temasya tersebut berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tarikh tersebut dipilih setelah mengambil kira beberapa temasya sukan dunia yang berlangsung pada tahun hadapan.
“Manakala Para Sukma 2026 akan berlangsung pada 5 hingga 14 September. Venue pembukaan dan penutup temasya Para kami akan umumkan pada September ini.
“Kami turut memuktamadkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai venue penutup bagi Sukma,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini kelmarin.
Bagi merancakkan lagi kehadiran dua temasya itu, satu majlis pelancaran logo, maskot dan tema Sukma dan Para Sukma 2026 akan berlangsung di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Shah Alam pada 15 Ogos, iaitu setahun sebelum penganjuran dua sukan dwitahun berkenaan.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan semua daerah di Selangor akan menganjurkan 28 sukan wajib serta lima sukan tambahan, yang mana jenis sukan tambahan yang dipertandingkan pada temasya itu akan diumumkan Majlis Tertinggi Sukma yang akan berlangsung pada awal bulan hadapan.
“Cuma keirin basikal akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai kerana Selangor tidak ada kemudahan velodrom.
“Bagi bola sepak, acara ini akan berlangsung di Stadium MBPJ manakala acara balapan akan berlangsung di Stadium Mini UPM (Universiti Putra Malaysia).
“Kami sudah tentukan venue bagi sukan teras. Tapi kami akan umumkan venue ini kemudian,” jelasnya.

































