KOTA KINABALU: Permainan kad dagangan atau Trading Card Game (TCG) disifatkan sebagai satu kaedah efektif untuk membawa generasi muda tampil bersosial secara sihat dan aktif, kata Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutupan program The TCG Event II yang berlangsung di pusat beli-belah 1Borneo di sini kelmarin, yang mencatat penyertaan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai komuniti TCG di seluruh Sabah.
“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan. Saya difahamkan penyertaan semakin bertambah, termasuk permainan-permainan baharu yang diperkenalkan,” katanya.
Menurut Abqaree, program seumpama ini wajar diberi sokongan penuh kerana ia bukan sekadar hobi, malah membina kemahiran sosial dan pemikiran strategik dalam kalangan belia.
“Generasi Z dan Alpha sekarang ini semakin kurang berinteraksi secara fizikal. Tetapi menerusi acara seperti ini, mereka keluar dari rumah, berjumpa rakan-rakan sebenar dan bersosial secara sihat. Ia dua hala dan penuh nilai pembangunan diri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha komuniti anak muda yang menganjurkan program seperti ini, malah mencadangkan agar satu ekosistem yang lebih tersusun diwujudkan untuk mengangkat penggiat TCG ke peringkat lebih tinggi.
“Anak-anak muda kita perlu diberi ruang, peluang dan platform. Jika diberi bimbingan dan sokongan, saya percaya mereka mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Chang Chee Ken memaklumkan bahawa sambutan kali kedua ini jauh lebih memberangsangkan berbanding penganjuran tahun lalu.
“Penyertaan mencecah 1,000 orang sepanjang tempoh dua hari. Tahun lalu kita hanya ada lapan permainan kad dan lima kedai permainan kad. Tapi tahun ini kita ada 12 permainan kad dan enam kedai yang turut serta,” jelasnya.
Dalam pada itu, peserta pameran, Ericson Lotidis melihat program tersebut turut membuka peluang ekonomi melalui peningkatan jualan barangan TCG.
“Saya nampak banyak potensi, terutamanya remaja yang berminat untuk bermain dan juga yang sudah bermain. Saya rasa TCG ini berpotensi untuk diangkat pada masa akan datang,” katanya.
Ericson merupakan pemilik R916 Hobby & Foods di Megalong Penampang, antara lokasi tumpuan anak muda sekitar Kota Kinabalu untuk bermain TCG.
Antara permainan kad TCG yang terdapat di R916 termasuk Magic The Gathering, Cookies Run Braverse dan Lorcana.
































