Polis merampas 470 ekor ayam sabung masih hidup baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 130 kotak mengandung pelbagai vitamin, 50 botol pelbagai vitamin dan 500 unit sangkar, reban ayam sabung.
PETALING JAYA: Polis melumpuhkan kegiatan perjudian sabung ayam baka dari Filipina selepas menyerbu tempat penyimpanan ayam sabung di Tawau, Sabah, membabitkan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM3.28 juta, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, serbuan dijalankan pada 2.30 petang menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh pasukan Wildlife Crime Bureau /Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman.
Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu turut membabitkan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, BN 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau serta pasukan pegawai penguatkuasa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau, sabah.
Menurutnya, dalam serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Apas Parit, Jalan Apas Parit, Tawau, Sabah berjaya menahan dua lelaki warganegara Indonesia dan dua warga Filipina berusia 31 hingga 52 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 470 ekor ayam sabung masih hidup baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam, 130 kotak mengandung pelbagai vitamin, 50 botol pelbagai vitamin dan 500 unit sangkar, reban ayam sabung.
“Manakala dalam serbuan kedua yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Membalua Off Jalan Apas, Tawau, Sabah pula berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Azmi berkata, susulan itu, polis merampas 152 ekor ayam sabung masih hidup baka dipercayai dari Filipina dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3.28 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan yang melibatkan perjudian sabung ayam di sekitar negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 Julai lalu, WCB/PSK Jabatan KNDKA Bukit Aman berjaya melancarkan sebanyak 173 serbuan di seluruh negara dan seramai 306 orang berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e – waste.
“Keseluruhan nilai rampasan WCB/PSK, JKDNKA bagi tempoh yang dinyatakan dianggarkan berjumlah RM544.7 juta.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam. orang awam,” katanya.
































