PETALING JAYA: Gangguan sistem autogate yang melibatkan pelawat asing di pintu masuk utama negara berpunca daripada masalah integrasi data sehingga menjejaskan kelancaran proses semakan silang dalam sistem MyIMMS.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, gangguan ini menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
“Kesannya, sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini.
“AKPS ingin menegaskan bahawa sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bagi menangani isu kesesakan, langkah-langkah segera diambil.
“AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama rapat untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
“Semua kaunter manual diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan telah dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” jelasnya.
AKPS sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara.

































