LOS ANGELES: Seorang pemandu didakwa atas tuduhan menyerang selepas merempuh orang ramai di luar sebuah kelab malam di Hollywood awal pagi Sabtu, menyebabkan 30 orang cedera.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu mencetuskan kekecohan apabila orang awam menyerang dan menembak suspek sebelum dia ditahan pihak berkuasa.
Menurut jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Rosario Cervantes, suspek dikenali sebagai Fernando Ramirez, 29, didakwa atas tuduhan menyerang dengan senjata berbahaya.
Rakaman video di media sosial menunjukkan suasana panik dengan orang ramai berlari dan mangsa terbaring di kaki lima dengan berlumuran darah.
“Sebaik tiba, anggota polis mendapati pemandu sedang diserang oleh orang awam dan mendapati dia mengalami kecederaan tembakan,” jelasnya.
Katanya, Ramirez sedang menjalani pembedahan di sebuah hospital tempatan selepas mengalami kecederaan tembakan dalam insiden tersebut.
“Suspek kini berada dalam tahanan Jabatan Polis Los Angeles dan tidak bebas untuk meninggalkan hospital,” kata Komander LAPD, Lillian Carranza kepada stesen berita tempatan KCAL.
Menurut laporan media tempatan, Ramirez diusir dari kelab malam The Vermont Hollywood sebelum dia dengan sengaja memandu keretanya ke arah orang ramai di luar premis berkenaan.
Kapten LAPD Ben Fernandes seperti dipetik Los Angeles Times berkata, rakaman video kejadian yang diteliti pihak polis menunjukkan tindakan itu dilakukan dengan sengaja dan bukan kemalangan.
Dalam kejadian berkenaan, suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Versa merempuh orang ramai, sebuah trak taco, dan pondok valet pada kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan).
Pihak berkuasa masih mencari individu bersenjata yang menembak suspek sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki.
Lebih 100 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian di East Hollywood.
Menurut Carranza,30 mangsa, terdiri daripada 18 wanita dan 12 lelaki dengan tujuh daripadanya kritikal.
































