Kawasan kejadian tembakan di kawasan Taman Megah Ria, Masai yang dimuat naik dalam media sosial.
JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang memburu seorang lelaki tempatan yang disyaki melepaskan tembakan semasa cubaan samun di kawasan Taman Megah Ria, Masai, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular tentang kejadian, semalam.
Menurutnya, polis mengesan satu rakaman video tular melibatkan seorang lelaki tempatan melepaskan satu tembakan ketika cubaan melakukan samun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.10 malam, ketika seorang lelaki memasuki sebuah premis dengan mengacukan pistol ke arah mangsa, meminta mangsa menyerahkan wang.
“Suspek dipercayai melepaskan satu das tembakan di luar premis berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana pihak.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian boleh hubungi talian 07-3871422 atau 07-38614222.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” jelasnya.

































