KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan persundalan di sebuah hotel dan apartmen di Petaling Jaya serta Subang Jaya pada Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, kegiatan itu yang aktif sejak lebih enam bulan lalu, dibongkar menerusi serbuan Op Noda pada pukul 6.30 petang, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil risikan dan maklumat awam.
Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil serbuan membawa kepada penangkapan 21 individu termasuk tiga rakyat tempatan.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun berperanan sebagai penjaga wanita terbabit ditahan bersama 20 wanita disyaki menawarkan khidmat pelacuran.
“Kesemua wanita terbabit terdiri daripada dua wanita tempatan, China (8), Mongolia (3), Uzbekistan (3), masing-masing seorang wanita Jepun, Rusia, Vietnam dan Laos.
“Modus operandi sindiket pelacuran ini adalah menawarkan perkhidmatan seks melalui laman web dengan mempamerkan gambar-gambar wanita berpakaian seksi, pakej serta harga untuk setiap perkhidmatan seks,” katanya di sini.
Beliau berkata, harga ditawarkan antara RM400 hingga RM1,000 untuk setiap perkhidmatan dan bayaran akan dibuat terus kepada pelacur.
Tambah Fadil, sindiket ini menjadikan bilik-bilik hotel di tingkat berbeza sebagai tempat menjalankan aktiviti seks dan menyewa unit apartment bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pelanggan yang hendak mendapatkan khidmat seks ini akan membuat tempahan melalui nombor telefon yang tertera di laman web dan mereka akan diberikan lokasi serta nombor bilik sebaik tiba di lokasi,” katanya.
Kata Fadil, semakan mendapati pasport digunakan kesemua wanita yang ditahan mempunyai cop lawatan sosial.
“Walau bagaimanapun, siasatan masih dijalankan. Op Noda terbabit turut merampas 59 kondom, 21 tuala mandi, 21 telefon bimbit, 16 kad akses dan wang tunai berjumlah RM4,470 disyaki hasil aktiviti persundalan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
































