WONSAN: Korea Utara menggantung kemasukan pelancong asing ke zon pelancongan pantai Wonsan-Kalma, hanya beberapa minggu selepas resort itu dibuka secara rasmi kepada pengunjung domestik.
Menurut Utusan Malaysia, pengumuman larangan itu disiarkan melalui laman pelancongan rasmi negara minggu ini, tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Resort mewah yang digelar media Korea Selatan sebagai Waikiki Korea Utara itu mula beroperasi pada 1 Julai, menampilkan hotel bertingkat tinggi, taman air, dan kemudahan untuk menampung sehingga 20,000 pengunjung.
Projek itu merupakan inisiatif peribadi Kim Jong-un, yang menyifatkannya sebagai ‘kejayaan terbesar tahun ini’.
Langkah larangan diumumkan tidak lama selepas Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, melawat resort berkenaan dan memuji potensinya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Namun, beberapa laporan media Russia mendakwa suasana ketika lawatan Lavrov dilihat ‘direka’ dan tidak mencerminkan aktiviti sebenar resort tersebut, mencetuskan spekulasi bahawa larangan itu mungkin reaksi terhadap kritikan tersebut.
Imej satelit turut menunjukkan beberapa struktur utama, termasuk hotel berhampiran kawasan Kalmaegi, masih belum siap sepenuhnya.
Korea Utara sebelum ini menyasarkan pelancong dari Russia dan China sebagai sumber pendapatan utama pasca pandemik.
Larangan ini, menurut penganalisis di Seoul, boleh memberi kesan besar kepada pendapatan mata wang asing dan kelangsungan operasi resort tersebut.
“Jika pelancong asing terus disekat, resort ini mungkin tidak mampu bertahan secara kewangan dan berisiko ditutup sepenuhnya,” kata seorang penganalisis.
































