MEMBAKUT: Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyempurnakan gimik perasmian sambutan Tadau Pisampuvaan Zotokou Ngavi Urun Sabah Gabungan peringkat kampung-kampung dalam Daerah Membakut di rumah kediaman Pengerusi Penyelaras KDCA Membakut, OKK Banjimin Ondoi Dulau, di sini, pada Sabtu.
Majlis simbolik itu disempurnakan dengan menuangkan padi ke dalam sagging (lesung tradisional), sebagai lambang kesyukuran atas hasil tuaian dan semangat kebersamaan komuniti.
Turut hadir ahli jawatankuasa KDCA Membakut serta beberapa pemimpin tempatan.
Sambutan yang menghimpunkan lebih 300 penduduk itu dimeriahkan dengan pelbagai acara kebudayaan dan tradisional, termasuk persembahan tarian, nyanyian, serta pertandingan busana etnik.































