KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung gangster menguasai bilik mayat di sebuah hospital di Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata pihaknya memandang serius dakwaan yang dibangkitkan dan menegaskan komitmen penuh untuk memelihara integriti serta kredibiliti perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.
“Bagi memperjelaskan isu yang dibangkitkan, KKM ingin menegaskan bahawa urusan pengurusan jenazah di hospital-hospital kerajaan adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab waris atau keluarga si mati.
“Pihak hospital tidak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan keluarga diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih mana-mana syarikat pengurusan jenazah yang mereka percayai, tanpa sebarang unsur paksaan atau campur tangan daripada pihak hospital,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah selaras dengan garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa, semua anggota perkhidmatan kesihatan dilarang sama sekali daripada bertindak sebagai orang tengah atau perantara dalam urusan pengurusan jenazah.
Veronica menambah sebarang pelanggaran terhadap arahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“KKM memandang serius isu integriti dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau perbuatan yang boleh menjurus kepada rasuah,” katanya.
Beliau turut menyarankan orang awam untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan salah laku atau ketidakpatuhan oleh anggota perkhidmatan kesihatan melalui saluran aduan rasmi yang telah disediakan.
Katanya sekiranya terdapat sebarang unsur paksaan, ugutan atau perlakuan yang menyerupai gangsterisme, laporan polis hendaklah dibuat dengan segera agar siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.
“KKM sentiasa komited untuk memastikan perkhidmatan kesihatan awam dilaksanakan dengan telus, berintegriti dan penuh akauntabiliti, demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
































