Joniston merasmikan Papawantai Taasok, sebuah acara kesyukuran komuniti.
KIULU: Parti-parti politik tempatan yang memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri akan datang tidak selari dengan keperluan rakyat terhadap kestabilan politik dan kerjasama tempatan yang kukuh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, pendekatan bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah terbukti berkesan dalam mentadbir negeri secara inklusif, stabil dan berfokus kepada pembangunan jangka panjang.
“Kerajaan GRS bergerak seiring dengan Kerajaan GPS di Sarawak yang dibentuk oleh parti-parti tempatan mewakili semua kaum… Pendekatan ini adalah yang terbaik untuk Sabah.
“Kalau kita lihat di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai majoriti yang jelas tetapi masih memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti lain bagi membangunkan sosioekonomi Sarawak secara bersama. Bukan bergerak bersendirian,” katanya.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian pada sesi bertemu rakyat dan majlis Papawantai Taasok di sini hari ini.
Mengulas mengenai perancangan Warisan dan PKDM untuk bertanding secara solo, Joniston menyifatkannya sebagai taktik politik yang bertentangan dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak menafikan hak mana-mana parti untuk bertanding sendiri, tetapi akhirnya rakyat akan menilai berdasarkan hasil.
“Kestabilan hanya dapat dicapai apabila parti-parti tempatan memilih untuk bekerjasama, bukan bersaing sesama sendiri.
“Jika kita mahu membawa pendekatan politik yang matang, ia mesti disusuli dengan kesediaan untuk bekerjasama dan berkompromi… bukan bergerak sendirian dan menafikan kekuatan kolektif,” tambahnya.
Joniston turut mengingatkan rakyat bagaimana Warisan dan PKDM pernah sanggup bersekongkol dengan UMNO dalam cubaan menjatuhkan Kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang menurutnya jelas menunjukkan kepentingan politik peribadi diutamakan berbanding kestabilan negeri.
“Tindakan sebegini tidak mencerminkan kepimpinan yang mengutamakan rakyat, malah hanya merosakkan keyakinan awam dan mengalih perhatian daripada agenda pembangunan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Hajiji, Kerajaan GRS telah membuktikan bahawa gabungan parti tempatan boleh berfungsi dengan baik dan telah mencapai banyak kejayaan, termasuk peningkatan rizab negeri dan pelaksanaan inisiatif kebajikan.
Di Kiulu, kata Joniston, pembangunan luar bandar terus digerakkan di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk penaiktarafan jalan pertanian bagi memudahkan akses ke kebun dan kampung.
“Kita akui masih banyak yang perlu dilakukan, dan kita tidak menafikan wujudnya cabaran seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur, tetapi kita bertanggungjawab sepenuhnya dan komited untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan yang telah membuktikan hasil nyata, dan tidak terpengaruh dengan keputusan politik yang dibuat demi kepentingan pihak tertentu sehingga boleh menjejaskan kestabilan negeri.
































