LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menuntut bekas menteri Parti Konservatif memberikan penjelasan berhubung skim rahsia untuk menempatkan semula rakyat Afghanistan susulan kebocoran data semasa pentadbiran terdahulu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan pertamanya mengenai isu itu, Starmer menyambut baik siasatan yang dirancang oleh Jawatankuasa Pertahanan Parlimen.
Ini berikutan pendedahan program bernilai 850 juta pound (RM4.8 bilion), selepas superinjunksi yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyekat sebarang perbincangan mengenainya ditarik balik pada Selasa.
“Dewan ini sentiasa bersatu dalam menyokong tanggungjawab United Kingdom (UK) terhadap rakyat Afghanistan yang pernah berkhidmat bersama pasukan tentera Britain.
“Kami memberi amaran ketika menjadi pembangkang tentang cara pengurusan dasar ini oleh kerajaan Konservatif.
“Semalam, Setiausaha Pertahanan mendedahkan sepenuhnya kegagalan yang kami warisi, satu kebocoran data besar, superinjunksi, serta laluan rahsia yang menelan belanja ratusan juta pound,” katanya semasa sesi soal jawab perdana menteri (PMQs) di Parlimen.
Starmer menuntut menteri di bawah pentadbiran terdahulu tampil memberikan penjelasan mengenai isu tersebut.
“Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan menyatakan hasratnya untuk mengadakan siasatan lanjut. Saya alu-alukan usaha itu, dan berharap mereka yang memegang jawatan ketika itu bersedia untuk disiasat,” katanya.
Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch, tidak menyentuh isu skim penempatan semula rakyat Afghanistan semasa sesi soal jawab itu, sebaliknya menumpukan soalan kepada isu ekonomi.
Selepas sesi itu, Setiausaha Akhbar Starmer memaklumkan Badenoch pernah ditawarkan taklimat keselamatan mengenai isu tersebut pada Mac, namun beliau menolaknya.
Ketika ditanya mengenai desakan untuk mengadakan siasatan awam secara menyeluruh, jurucakap rasmi Starmer tidak menolak kemungkinan tersebut, namun menegaskan Parlimen wajar meneliti terlebih dahulu isu itu.
Skim rahsia dikenali sebagai Laluan Tindak Balas Afghanistan (ARR) terbongkar selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan superinjunksi sebelum ini menghalang perbincangan mengenai perbelanjaan besar kerajaan yang biasanya menjadi isu politik.
Skim itu diwujudkan secara tergesa-gesa selepas pendedahan maklumat peribadi 18,700 warga Afghanistan yang memohon untuk datang ke UK bocor akibat kesilapan pegawai pertahanan Britain pada awal 2022, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko tindak balas daripada Taliban.
Kerajaan Britain pada ketika itu hanya menyedari kebocoran data itu setahun kemudian iaitu pada Ogos 2023, selepas beberapa maklumat sensitif tersebut dikesan tersebar dalam media sosial termasuk Facebook.


































