Batu gergasi berusia 10,000 tahun masih utuh di tengah-tengah Pusat Beli-Belah Viimsi di bandar Haabneeme, Estonia.
TALLINN: Batu gergasi berusia 10,000 tahun yang masih kekal utuh di tengah-tengah sebuah pasar raya di bandar Haabneeme di Estonia kini menjadi tarikan utama bagi kebanyakan pelanggan dan pelancong yang mengunjungi negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, batu sebesar 22 meter dengan ketinggian kira-kira enam meter itu hanya ditemui ketika penggalian asas dilakukan pada September 2014.
Pada mulanya, pekerja bercadang untuk meletupkan batu itu, tetapi penduduk tempatan membantah rancangan tersebut.
Kajian lanjut mendapati batu besar itu sebenarnya adalah batu eratik yang berstatus pemuliharaan.
Batu eratik terbentuk daripada glasier yang dihanyutkan ke lokasi lain dalam tempoh yang lama dan ditinggalkan apabila glasier cair.
Ia sering mempunyai komposisi berbeza berbanding batu tempatan, memberikan petunjuk geologi berharga tentang glasier dan zaman ais silam.
Estonia mempunyai banyak batu eratik, tetapi batu di tengah-tengah Pusat Membeli-Belah Viimsi dipercayai berada di situ sekurang-kurangnya 10,000 tahun yang lalu iaitu sekitar akhir zaman ais terakhir.
“Tidak masuk akal untuk memusnahkan batu yang begitu berharga!” kata penduduk Haabneeme serentak apabila pekerja memutuskan untuk meletupkan batu itu.
Apabila ahli geologi mengesahkan sifat eratik batu tersebut, pemaju terpaksa mengubah rancangan mereka dengan membina bangunan di sekeliling batu raksasa itu.
Ketika pusat membeli-belah Viimsi pertama kali dibuka sepuluh tahun lalu, batu itu kelihatan janggal.
Namun, selama bertahun-tahun, orang ramai sudah terbiasa dan pasar raya tersebut melakukan pelbagai cara untuk menyamarkannya seperti menggunakannya sebagai pameran karya seni.
































