JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes kematian seorang lelaki yang ditembak di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, di sini awal tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang Selasa di bandar raya ini.
Warga emas itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
“Kami masih lagi menjalankan siasatan untuk mengesahkan pembabitannya dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Pada 8 Januari lalu, seorang lelaki berusia 40 tahun maut ditembak ketika sedang menjamu selera bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di Taman Setia Indah.
Susulan kejadian itu, sembilan suspek berusia 36 hingga 66 tahun dipercayai ahli kongsi gelap ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan dan telahpun dibebaskan. Difahamkan kes itu ada kaitan dengan aktiviti kongsi gelap dan dendam.
































