TOKYO: Melalui syarikat perkhidmatan unik bernama Client Services, sesiapa sahaja boleh menyewa wanita warga emas berusia 60 hingga 94 tahun dengan bayaran asas 3,300 yen (RM94) sejam di Jepun.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan yang dikenali sebagai OK Grandma atau OK Obā-chan ini telah beroperasi sejak 2012 dan kekal menjadi salah satu tawaran terlaris syarikat tersebut.
Lebih daripada 100 nenek menyertai program ini, menawarkan pelbagai kemahiran mulai dari masakan tradisional, penjagaan anak, nasihat kehidupan hingga sekadar menjadi pendengar setia.
Menurut laman rasmi OK Grandma, kelebihan usia seorang nenek adalah kemampuan untuk tidak mudah terkejut dengan perkara kecil.
“Mereka memiliki perhatian terhadap mereka yang memerlukan, dan walaupun tenaga fizikal mungkin tidak sekuat dulu, kemahiran komunikasi, pengurusan rumah tangga serta kebijaksanaan hidup yang mereka miliki adalah kekuatan yang tiada tolok bandingnya,” tulis laman itu.
Dengan lebih 100 orang nenek berdaftar di bawah perkhidmatan OK Grandma, Client Services memastikan setiap pelanggan mendapat ‘nenek sewaan’ yang paling sesuai dengan keperluan mereka.
Ada nenek yang pakar dalam masakan tradisional Jepun, ada yang cekap membersihkan rumah, mahir menjaga anak atau sekadar memiliki tulisan tangan yang cantik.
Namun, mereka tidak semestinya perlu memiliki kemahiran khusus, kadangkala hanya menjadi pendengar yang sabar dan memberi nasihat sudah cukup berharga.
“Saya ingin berpisah dengan kekasih, tapi tidak berani mengatakannya sendiri. Jadi, saya minta nenek datang bersama untuk memberi sokongan,” kongsi salah seorang pelanggan.
































