SHAH ALAM: Polis mengesahkan wujud adegan berbogel dalam acara dipanggil sebagai Queen’s Night menerusi program motivasi rumah tangga e-Hati di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada September tahun lalu.
Malah program tersebut dikatakan dianjur secara bermalam selama empat hari tiga malam melibatkan kira-kira 50 peserta termasuk bukan Islam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, aksi tersebut dilakukan oleh empat fasilitator yang kemudian turut diikuti oleh beberapa peserta lain pada malam terakhir program berkenaan.
Menurutnya, penganjuran program itu dimasukkan dalam salah satu pakej yang dikenakan bayaran sebanyak RM9,000 sementara pakej lain pula RM6,000.
“Dalam program pakej B, ada satu tambahan (aktiviti) dipanggil sebagai Queen’s Night. Dalam itulah berlaku aktiviti yang disebutkan itu (berbogel) dan dianggap lucah yang melibatkan empat individu dalam aktiviti dipanggil sebagai ‘rebirth’ untuk menaikkan motivasi mereka.
“Beberapa individu lain juga dikenal pasti yang mana pada malam itu kira-kira 50 orang hadir dan polis memperolehi senarai mereka yang hadir,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Hussein, polis mengingatkan supaya semua yang hadir tampil di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan sebelum polis membuat tindakan tangkapan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman tiga hari sehingga 18 Julai terhadap enam individu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita termasuk pasangan suami isteri serta anak perempuannya sebagai penganjur.
Kesemua suspek tersebut direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Hussein berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 294 KK adalah kesalahan melakukan kelucahan dalam khalayak ramai namun belum menerima sebarang rakaman video atau gambar menunjukkan adegan tersebut.
“Sehingga kini kita sudah merakam keterangan 30 individu termasuk penganjur, fasilitator dan mereka yang hadir. Kita masih menyiasat sama ada peserta terdiri daripada selebriti atau orang kenamaan (VIP), namun antara mereka adalah dari pelbagai profesion termasuk penjawat awam.
“Polis juga merampas beberapa jenis cecair dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui kandungannya sama ada terdapat dadah atau lain-lain kandungan,” jelasnya.
Katanya lagi, polis turut menyiasat jika terdapat perancangan penganjur untuk menganjurkan program motivasi sama pada masa akan datang, namun acara Queen’s Night adalah pertama kali.
































