KOTA KINABALU: Seramai 60,434 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisien hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan nilai keseluruhan melebihi RM260 juta.
Projek-projek itu melibatkan kerja naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu serta pemasangan sistem pemantauan keselamatan yang menyeluruh bagi menjamin kebolehpercayaan bekalan elektrik di kawasan Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi dan Labuan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyempurnakan penyerahan rasmi tujuh projek berkenaan sempena kunjungan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU), salah satu projek penting di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).
PMU KKBU merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang kini memberi manfaat kepada kira-kira 11,452 pengguna di Tanjung Aru dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Ia melibatkan pembinaan bangunan baharu yang menempatkan suis berpenebat gas (GIS) 132kV dan 33kV serta pemasangan transformer 132/33/11kV bagi menggantikan sistem lama 66/11kV yang usang dan tiada alat ganti.
Projek ini turut menyokong pembinaan jajaran kabel 33kV ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus meningkatkan kecekapan bekalan elektrik ke kawasan strategik berkenaan.
Antara enam lagi projek tenaga yang disiapkan di bawah PPKBES ialah:
1. Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang (Fasa 1) bernilai RM34.92 juta yang melibatkan naik taraf PMU Beaufort ke 275kV serta pembinaan menara talian sepanjang 7 kilometer dari PMU Megalong ke sempadan Sidumin. Ia dijangka membolehkan pengimportan sehingga 30MW tenaga dari Sarawak apabila siap sepenuhnya pada September 2025, dan direka untuk kapasiti penghantaran sehingga 500MW dalam rangkaian ASEAN Power Grid.
2. Projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta, yang mula beroperasi pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya pada Mac 2024. Ia menyambungkan Ranau ke grid elektrik Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel, sekali gus memberi manfaat kepada 15,620 pengguna.
3. Projek PPU Batu Sapi bernilai RM30.02 juta mula beroperasi pada Disember 2024. Ia memperkukuh agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi ke sekitar Sandakan termasuk Karamunting, Bokara dan Kampung Istimewa, memberi manfaat kepada 4,744 pengguna.
4. Projek Protection On-Line Monitoring bernilai RM42 juta melibatkan kerja komunikasi dan penaiktarafan geganti perlindungan termasuk pemasangan kabel gentian optik dasar laut sejauh 15km dari Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan. Ia memperkukuh sistem perlindungan antara PMU Beaufort dan PMU Rancha-Rancha.
5. Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai RM50.01 juta, mula beroperasi pada Ogos 2024. Ia meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW kepada 131.60MW serta mengurangkan indeks gangguan bekalan (SAIDI) di kawasan sekitar UMS, Sulaman dan Alamesra, memberi manfaat langsung kepada lebih 5,000 pengguna termasuk Hospital UMS.
6. Projek Sistem Pengukuhan 11kV Labuan bernilai RM6.3 juta yang siap pada November 2024 melibatkan penaiktarafan sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha bagi menyokong pembangunan baharu di Labuan.
Pelaksanaan projek-projek PETRA melalui PPKBES ini secara keseluruhan memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik di Sabah dan Labuan, serta menjamin penyampaian perkhidmatan tenaga yang lebih berkualiti, mampan dan diyakini kepada rakyat.
Ia turut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat terus diutamakan melalui pemerkasaan sistem tenaga negara.


































