PETALING JAYA: Sampel air ‘Piya’ yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum oleh peserta program motivasi rumah tangga masih dalam proses siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan kandungan itu sama ada mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum peserta program.
Katanya, sampel air itu masih dalam proses siasatan dan belum dihantar ke makmal forensik.
“Jadi, kita belum dapat sahkan (dakwaan kandungan bahan terlarang dalam air terbabit),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga terbabit.
Ini susulan masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Hussein Omar berkata, pihaknya akan memanggil 50 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung program dalam masa terdekat.
“Polis akan mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri (penganjur program) itu terlebih dahulu.
“Seramai 50 orang akan dipanggil. Namun, saya tidak boleh kongsikan lagi bila mereka akan diambil keterangan,” katanya.

































