Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghormati pendirian Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menjalin kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penolakan kerjasama itu seharusnya dilihat secara positif dan memudahkan hala tuju GRS dalam usaha terus memperjuangkan sokongan rakyat.
“Pendapat peribadi saya, dengan kenyataan PN tolak kerjasama dengan GRS, kita perlu berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau memudahkan urusan kita.
“Pertama, tanpa kita perlu jelaskan, beliau secara langsung memaparkan hakikat bahawa tidak pernah ada cadangan kerjasama di antara kedua-dua pihak.
“Kedua, ini memudahkan kerja kita kerana, GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, nanti kita nampak angkuh dan sombong. Biar orang lain bercakap, dan kita alu-alukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, pendirian terbuka PN itu secara tidak langsung menyusul langkah serupa oleh Barisan Nasional (BN) Sabah yang turut menyatakan hasrat tidak bekerjasama dengan GRS.
“Setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta, BN Sabah dan terkini PN telah menyatakan pendirian menolak GRS.
“Yang penting kita jalan terus, yang penting adalah ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyerang secara peribadi mana-mana tokoh politik, termasuk Tan Sri Muhyiddin yang disifatkan sebagai mantan Perdana Menteri yang amat dihormati.
“Dalam politik, saya dididik untuk mengelakkan bercakap berkaitan individu. Apatah lagi bila menyentuh seorang mantan Perdana Menteri yang amat dihormati.
“Namun, saya fikir kita perlu melihat nilai dan makna di setiap apa yang berlaku. Kita dapat dengar dalam ucapan mereka menyebut kita angkat Hajiji menjadi wakil rakyat, kita pilih Hajiji menjadi Ketua Menteri. Ke depan, inilah yang perlu kita rintis, perubahan dalam politik Sabah,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal realiti politik yang dihadapi pemimpin-pemimpin Sabah apabila berada dalam parti-parti nasional yang berpusat di Semenanjung Malaysia.
“Berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen sebegitu. Ini kerana, untuk menjadi calon pilihan raya, pilihan dan watikah akan dikeluarkan oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia.
“Calon Ketua Menteri pula adalah daripada ketua pimpinan di negeri, yang dilantik oleh juga pimpinan dari Semenanjung Malaysia. Maka, siapa juga dipilih akan dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana,” jelas beliau.
Sebaliknya, menurut Armizan, GRS yang terdiri daripada parti-parti tempatan mempunyai autonomi penuh dalam membuat keputusan politik termasuk pemilihan calon dan pelantikan Ketua Menteri.
“Berbeza dengan parti lokal, calon-calon diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh ketua parti lokal sendiri, dan Ketua Menteri adalah kalangan ketua parti-parti lokal yang dipilih oleh orang kita di Sabah sendiri.
“Ke depan, sudah tiba masa kita hantar isyarat bahawa ‘the master is not there, the master is here, the ultimate master is the rakyat of Sabah’. Kenapa saya guna perkataan ‘master’? nanti kita cerita kemudian,” katanya.


































