KOTA KINABALU: Seramai 2,477 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerima bantuan pendidikan sekali bayar di bawah program SENTOSA kelmarin, bertujuan meringankan beban kewangan pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi dalam negeri.
Inisiatif yang dikenali sebagai Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM6 juta oleh Kerajaan Negeri bagi memanfaatkan kira-kira 20,000 pelajar Bumiputera yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Sabah. Setiap pelajar yang layak menerima bantuan tunai sebanyak RM300.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang merasmikan majlis penyerahan bantuan tersebut di Dewan Al-Bukhari UiTM Kota Kinabalu, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan.
“Pendidikan ialah asas dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu, berkemampuan dan beretika. Kerajaan Negeri serius dalam memastikan tiada anak Sabah yang tercicir daripada agenda pendidikan negara,” katanya.
Masidi turut memaklumkan bahawa inisiatif SENTOSA merupakan antara 13 bentuk bantuan berkaitan pendidikan yang dilaksanakan tahun ini dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM75.5 juta. Bantuan lain termasuk penyelenggaraan sekolah, anugerah kecemerlangan pelajar, sokongan peperiksaan, subsidi penerbangan bagi pelajar di luar Sabah serta bantuan komputer.
Selain SENTOSA, Kerajaan Negeri juga menyediakan RM125 juta dalam bentuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada 4,170 pelajar, manakala Yayasan Sabah memperuntukkan RM11.25 juta bagi pembiayaan biasiswa, pinjaman pengajian dan geran kepada 1,879 pelajar.
Masidi turut menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dalam memastikan generasi muda Sabah mendapat sokongan pendidikan yang sewajarnya demi kejayaan masa depan mereka.
Majlis penyerahan bantuan ini dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama UiTM Cawangan Sabah.
































