Limus Jury
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Air Sabah beriltizam untuk merancang dan membangunkan sistem bekalan air yang lestari serta memastikan penyampaian bekalan air yang selamat, berkualiti dan berterusan kepada seluruh pengguna di Sabah.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, selain itu, Jabatan Air Sabah (JANS) juga komited untuk mempertingkat tahap penyampaian perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan yang efisien, profesional dan berorientasikan pelanggan demi menjamin kepuasan pengguna.
“Sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan, JANS telah dan sedang melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi bagi menangani isu bekalan air jangka masa panjang iaitu 18 projek di bahagian Pantai Barat, 15 projek di Bahagian Pedalaman, 12 projek Bahagian Tawau, lima projek Bahagian Sandakan dan dua projek Bahagian Kudat.
“Bagi perancangan RMK13 tahun 2026, Kementerian saya sedang meneliti cadangan bagi pelantikan perunding untuk melaksanakan kajian dan penyediaan pelan induk bagi seluruh daerah di Sabah.
“Kajian ini bertujuan untuk merangka strategi dan pelan induk bagi mengoptimumkan bekalan air terawat yang selamat kepada seluruh komuniti di Sabah, meliputi keperluan jangka masa pendek, sederhana serta jangka panjang, termasuk cadangan pelaksanaan strategi Grid Air di seluruh negeri,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Limus berkata, selain itu, Kementerian juga telah mengemukakan senarai keutamaan cadangan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Tawau dan Sandakan, pelaksanaan Program Non-Revenue Water (NRW) secara holistik bagi daerah Keningau dan Beaufort, serta cadangan kerja-kerja penggantian paip-paip lama yang uzur di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan.
“Pada masa yang sama, JANS juga bercadang di bawah program yang sama untuk melaksanakan secara berfasa pembinaan Sistem Tangki Pra- Pemendapan di 22 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah dalam tempoh RMK-13 tertakluk kepada kelulusan pihak Kementerian Persekutuan.”
Di samping itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui JANS juga telah meluluskan tiga projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 5(RMK12, RP5) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Kinabatangan, Beluran dan Pitas.
Bagi penyaluran bekalan air alternatif pula, JANS tidak melaksanakan penyaluran bekalan air alternatif kepada pengguna kerana terikat kepada Enakmen Bekalan Air 2003 (Pindaan 2022) di mana fungsi dan tanggungjawab JANS sebagai Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) adalah untuk menyalurkan bekalan air yang telah dirawat kepada pengguna yang berdaftar sahaja.
“Walau bagaimanapun, JANS tidak mempunyai halangan terhadap cadangan bekalan air alternatif dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dan khidmat teknikal kepada organisasi atau agensi yang ditugaskan untuk melaksanakan projek-projek tersebut.”
Sementara itu, Limus berkata, Sabah mempunyai jaringan paip yang lama daripada jenis AC paip lebih kurang 1200km panjang.
Katanya, JANS memang mempunyai perancangan untuk mengganti paip-paip yang usang tersebut seperti program penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi dan agihan di daerah Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan sebagainya.
“Namun demikian, sekiranya kita hendak menggantikan paip-paip usang itu secara sekaligus, ia akan menelan kos yang agak tinggi. Oleh itu, Ianya akan dilakukan secara berfasa,” katanya.
Dalam masa yang sama juga, sejak tahun lepas, JANS telah melantik kontraktor-kontraktor pembaikan bagi kerja-kerja membaiki paip-paip yang bocor dan rosak di seluruh zon di Sabah.
“Ini adalah merupakan usaha kita untuk memperbaiki dan mengganti paip-paip usang dan bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Sabah,” katanya.


































