WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan beliau mungkin mempertimbangkan untuk mengusir Elon Musk dari negara itu, susulan kritikan tajam bilionair itu terhadap rang undang-undang perbelanjaan utama yang menjadi sandaran pentadbiran Trump.
Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Trump turut menegaskan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), agensi yang pernah diterajui oleh Musk sebelum meletakkan jawatan pada akhir Mei mungkin akan diarahkan untuk menyiasat subsidi kerajaan yang dinikmati oleh tokoh industri Tesla dan SpaceX itu.
“Saya tidak tahu kita akan lihat nanti,” ujar Trump apabila ditanya sama ada beliau serius mahu mendeportasikan Musk.
“Kita mungkin perlu kerahkan DOGE terhadap Elon. Kamu tahu apa itu DOGE? DOGE ialah raksasa yang mungkin perlu berpatah balik dan ‘makan’ Elon semula,” katanya dengan nada sinis.
Menurut Utusan Malaysia, Trump turut mengulangi ancaman tersebut dengan mendakwa Musk kecewa kerana rangsangan untuk kenderaan elektrik (EV) telah digugurkan daripada draf akhir rang undang-undang yang dikenali sebagai “One Big Beautiful Bill”.
“Dia kehilangan mandat EV. Dia sangat marah, tapi saya boleh katakan, Elon mungkin akan kehilangan lebih banyak lagi selepas ini,” ujar beliau.
Dalam catatan di laman sosialnya, Truth Social, Trump turut menyindir “tanpa subsidi, Elon mungkin terpaksa tutup kedai dan balik ke Afrika Selatan.”
Musk, yang kini merupakan orang terkaya di dunia, sebelum ini pernah menjadi penyumbang terbesar kepada kempen pilihan raya Trump pada tahun 2024, dan sering dilihat berada di sisi presiden itu pada awal pentadbiran namun, hubungan antara kedua-dua tokoh tersebut meretak secara terbuka bulan ini, apabila jutawan Tesla tersebut mengecam kandungan rang undang-undang yang menurutnya telah mengabaikan komitmen terhadap tenaga bersih dan revolusi EV.
Dalam beberapa kenyataan terbaharu, Musk turut mencadangkan agar parti politik baharu, dikenali sebagai “America Party”, ditubuhkan sekiranya rang undang-undang itu diluluskan oleh Kongres.
Kritikan terbuka ini menandakan satu lagi babak tegang dalam hubungan antara dua tokoh paling berpengaruh dalam politik dan teknologi Amerika Syarikat ketika ini.


































