Tiga pemain warisan, Jon Irazabal (kanan), Imanol Machuca (dua dari kiri) dan Joao Figueiredo (dua dari kanan) antara yang terbaharu membarisi skuad Harimau Malaya.
PETALING JAYA: Status dan susur galur pemain warisan Harimau Malaya tidak sepatutnya diperdebatkan memandangkan mereka telah mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd, Joehari Mohd, Ayub berkata, apa yang penting badan induk bola sepak dunia telah memberi kebenaran untuk pemain warisan beraksi bersama skuad kebangsaan.
Justeru, Mohd, Joehari menyifatkan tiada isu sama ada susur galur pemain warisan didedahkan atau tidak kerana yang penting mereka sudah melepasi tapisan ketat dan layak untuk menganggotai skuad kebangsaan.
“Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh FIFA dan FIFA adalah satu badan yang tegas dalam semua perkara. Jadi semuanya sudah disemak oleh FIFA dan FAM hanya ikut prosedur serta arahan yang ditetapkan.
“Tiada masalah untuk kami dedahkan atau tidak. Namun, FIFA pun sudah semak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” katanya.
Mohd Joehari berkata demikian bagi mengulas tentas status pemain warisan selepas ada pihak yang mempersoalkan latar belakang lima pemain baharu yang membuat penampilan pertama ketika menentang Vietnam, 10 Jun lalu.
Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Harimau Malaya menggunakan khidmat Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado selepas mendapat kelulusan daripada FIFA.
Selain itu, Joehari menjelaskan bahawa FAM sentiasa mengutamakan ketelusan dan tidak mengambil mudah mengenai soal pemilihan pemain, terutama yang membabitkan kelayakan dari segi undang-undang dan peraturan antarabangsa.


































