WASHINGTON: Elon Musk sekali lagi mencuri tumpuan politik selepas menyuarakan kecaman keras terhadap rang undang-undang ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang digelar ‘Big, Beautiful Bill’ ketika ia dibahaskan di Senat sebelum undian akhir pada Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi platform media sosial miliknya, X, Musk mengkritik anggota Kongres yang menyokong rang undang-undang itu, walaupun sebelum ini berjanji mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
“Setiap ahli Kongres yang berkempen untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi kemudian menyokong peningkatan hutang terbesar dalam sejarah ini sepatutnya malu dengan keputusan mereka! Dan mereka akan kalah dalam pemilihan parti tahun depan walau apa pun terjadi, saya akan pastikan,” tulisnya.
Beberapa jam kemudian, Musk mengancam untuk menubuhkan parti politik baharu sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.
“Jika rang undang-undang perbelanjaan gila ini lulus, Parti Amerika akan ditubuhkan keesokan harinya. Negara ini perlukan alternatif kepada pakatan dua parti Demokrat–Republikan agar rakyat benar-benar punyai suara,” katanya.
Namun, ancaman itu dibalas pantas oleh Trump.
Dalam hantaran lewat malam di Truth Social, beliau mengecam Musk dan mencadangkan supaya agensi baharu, Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) menyiasat perniagaan jutawan itu.
“Elon mungkin penerima subsidi kerajaan terbesar dalam sejarah. Tanpa subsidi, dia mungkin sudah menutup kedai dan pulang ke Afrika Selatan. Tiada lagi roket, satelit atau kereta elektrik.
“Negara kita akan jimat berbilion dolar. Mungkin DOGE patut selidik semua ini. BANYAK DUIT BOLEH DIJIMATKAN!!!” tegas Trump.
Pertelagahan antara kedua-dua tokoh itu memuncak sejak beberapa minggu lalu, apabila Musk lantang mengkritik dasar fiskal Trump dan menyifatkan rang undang-undang itu sebagai ‘hamba hutang’.
Rang undang-undang yang dibentangkan di Senat dijangka menambah hampir AS$3.3 trillion (RM13.9 trillion) kepada defisit dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut anggaran Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).
Ia melibatkan pemotongan cukai yang lebih besar, pemotongan perbelanjaan yang lebih kecil, serta langkah-langkah untuk meningkatkan hasil negara.
Namun, Rumah Putih menegaskan bahawa rang undang-undang itu akan mengurangkan defisit dan hutang serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
Musk menafikan kehilangan subsidi kereta elektrik dan tenaga solar menjadi sebab utama beliau menentang rang undang-undang tersebut.
Namun, beliau menyelar kerajaan kerana memberi bantuan kepada industri lapuk sambil mencederakan industri masa depan.
Trump pula mempertahankan pendiriannya terhadap mandat kenderaan elektrik (EV).
“Elon sudah tahu sejak awal saya menentang mandat EV. Kereta elektrik tidak salah, tetapi rakyat tidak patut dipaksa memilikinya,” katanya di Truth Social.


































