TAWAU: Isu keracunan makanan yang sering berlaku di sekolah-sekolah akibat pengabaian aspek kebersihan dan keselamatan makanan mendorong penganjuran Program Germ Buster Challenge Peringkat Negeri Sabah 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat, di sini hari ini.
Program anjuran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Sitti Aralas.
Seramai 361 murid dan 28 guru dari 11 buah sekolah rendah sekitar daerah Tawau menyertai program tersebut yang bertujuan mendidik pelajar tentang kepentingan kebersihan diri dan keselamatan makanan melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.

Menurut Sitti, program itu menyasarkan murid sekolah rendah kerana golongan tersebut perlu diberikan pendedahan awal terhadap amalan kebersihan yang betul bagi mengelakkan keracunan makanan.
“Antara punca utama keracunan makanan di sekolah ialah pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri, premis yang tidak bersih serta penyimpanan dan penyediaan makanan yang tidak selamat. Selain itu, kurangnya amalan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ dalam kalangan murid juga menyumbang kepada risiko tersebut,” katanya.
Dua komponen utama program ialah Pertandingan Explorace yang bertemakan kebersihan dan keselamatan makanan serta ceramah bertajuk Food Safety & Hygiene Talk yang memberi maklumat asas kepada murid secara santai dan mudah difahami.
SK Tanjung Batu Keramat muncul johan pertandingan Explorace, diikuti SK Jambatan Putih di tempat kedua dan SK Holy Trinity di tempat ketiga.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan berharap penganjuran program seumpama ini akan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan warga sekolah mengenai amalan kebersihan menyeluruh merangkumi diri, persekitaran dan makanan demi mencegah insiden keracunan makanan.
































