Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Jahid Jahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah melibatkan operasi perlombongan di Sabah seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 28 Jun.
Laporan bertajuk “Lagi Kejutan Sabah: Skandal pelombongan selubungi STAR, pemimpin tertinggi PBS” yang ditulis oleh RK Anand dan Alyaa Alhajri, mendakwa Jahid menerima RM150,000 kononnya berkaitan dengan skandal berkenaan.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak berasas dan bersifat fitnah,” Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan kelulusan atau pemberian lesen perlombongan di Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa kementerian yang diketuainya tidak terlibat dalam sebarang proses berkaitan permohonan atau kelulusan lesen perlombongan.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa tiada lesen mencari gali atau sebarang lesen berkaitan perlombongan yang telah diluluskan atau dikeluarkan di kawasan saya,” katanya dalam satu kenyataan tegas hari ini.
Jahid turut membidas amalan pihak tertentu yang disifatkannya sebagai “tidak terkawal” kerana menyalahgunakan media untuk mencipta naratif palsu berkaitan rasuah sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.
“Pendekatan Malaysiakini adalah tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang. Dengan menyiarkan tuduhan tanpa bukti kukuh atau melalui proses undang-undang yang sah, mereka mengajak orang ramai untuk membuat penghakiman terburu-buru,” tambahnya.
Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang baru-baru ini turut menafikan dakwaan serupa. Kedua-dua pemimpin itu percaya wujud usaha pihak tertentu yang menggunakan media secara strategik untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.
“Taktik menjatuhkan pemimpin dan mengubah kerajaan melalui manipulasi media bukanlah perkara baru di Sabah. Ia mengikuti ‘buku panduan’ yang telah lama digunakan sejak tahun 1960-an,” kata Jahid.
Susulan laporan berkenaan, Jahid memaklumkan bahawa beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap Malaysiakini serta dua wartawannya.
“Saya mengekalkan semua hak saya untuk mengambil tindakan undang-undang dalam perkara ini,” tegasnya.






























