Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kiri) menunjukkan kad Pas My50 yang kini boleh diperbaharui menerusi aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet.
KUALA LUMPUR: Pengguna Pas My50 tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter bermula 1 Julai ini apabila urusan pembaharuan boleh dilakukan terus menerusi aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah pendigitalan itu membolehkan pengguna memperbaharui pas perjalanan tanpa had tersebut secara digital tanpa perlu menunjukkan MyKad seperti kaedah sebelum ini.
Katanya, inisiatif pendigitalan itu membolehkan proses pembaharuan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian, hanya dengan melalui proses pengesahan e-KYC (electronic Know Your Customer) bagi membuktikan status warganegara.
“Pengguna kini boleh memperbaharui Pas My50 terus dari telefon pintar tanpa perlu menunjukkan MyKad atau beratur di kaunter.
“Semua boleh dilakukan secara digital melalui telefon pintar. Pengguna juga dapat memudahkan perjalanan dan menjimatkan masa,” katanya pada sidang media pengumuman pendigitalan Pas MY50 di Stesen KL Sentral, kelmarin.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pembaharuan pas MY50 kini boleh dilakukan dalam beberapa saat sahaja melalui aplikasi e-Wallet.
Katanya, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi mempertingkat kecekapan dan pengalaman pengguna pengangkutan awam selain menyokong agenda digital dan penggunaan tanpa tunai.
“Pengangkutan awam bukan hanya soal tren atau bas, tetapi juga melibatkan sistem pembayaran yang cekap dan fasiliti sokongan.
“Pembangunan bandar baharu perlu menyokong ekosistem pengangkutan yang bersepadu dan mesra pengguna,” katanya.
Tambah beliau, kaedah pembaharuan sedia ada menggunakan MyKad masih dikekalkan bagi memberi pilihan kepada pengguna yang belum bersedia beralih ke sistem digital.
“Bagi yang masih mahu menggunakan kaedah biasa, mereka boleh terus ke kaunter dan perbaharui seperti sebelum ini.
“Kita tidak hapuskan sistem sedia ada. Pengguna masih boleh ke kaunter sekiranya tidak mahu menggunakan e-Wallet. Tetapi untuk lebih mudah dan pantas, e-Wallet adalah pilihan terbaik,” ujarnya.
Katanya lagi, langkah itu juga dijangka menyelesaikan isu kesesakan dan masa menunggu yang panjang di kaunter, terutamanya di stesen-stesen tumpuan seperti KLCC, Pasar Seni dan KL Sentral.
“Inisiatif serupa turut dirancang untuk produk lain seperti Pas MyCity menjelang akhir tahun ini,” katanya.


































