Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan semua Ahli Majlis Tertinggi PBS.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang, sekali gus menegaskan kesetiaan parti itu kepada gabungan pemerintah sedia ada.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS membuat keputusan ini pada mesyuaratnya yang diadakan di ibu pejabat parti di sini kelmarin, yang turut membincangkan hal ehwal utama dan hala tuju strategik parti.
“Pendirian kami jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS. Kami komited terhadap kerjasama politik ini menjelang PRN17,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Dr. Joachim berkata, parti itu turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
“Kami percaya bahawa perpaduan antara parti-parti tempatan amat penting dalam menjamin kestabilan politik dan pembangunan berterusan untuk Sabah. Hubungan kami dengan StarSabah akan terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau menambah, majoriti AMT juga tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno/Barisan Nasional (BN).
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menyumbangkan pandangan berkaitan hala tuju strategik parti.
“Tan Sri Pairin telah berkongsi pandangan yang sangat bernilai dalam mesyuarat Biro Politik. Panduan beliau mengenai ‘Hala Tuju’ PBS kekal penting kepada kepimpinan parti,” kata Dr. Joachim.
Beliau berkata, AMT turut membincangkan tahap kesiapsiagaan pilihan raya dan usaha akar umbi yang sedang dilaksanakan bagi mengukuhkan sokongan terhadap PBS menjelang PRN akan datang.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa PBS akan terus fokus memperjuangkan kepentingan rakyat tempatan, hak-hak anak negeri serta memastikan suara Sabah terus didengar dalam hal ehwal nasional melalui pendekatan politik yang membina.
Beliau menyeru semua ahli parti supaya kekal bersatu dan setia dengan perjuangan parti, serta bersedia sepenuhnya menghadapi pertempuran pilihan raya dengan keyakinan.
































