KUALA LUMPUR: Tindakan wanita warga asing disyaki menawarkan perkhidmatan seks di sebalik premis urut terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Taman Maluri serta Taman Connaught Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, serbuan bermula pukul 7 petang itu hasil maklumat dan risikan dijalankan JIM ke atas dua premis di lokasi berkenaan.
Semasa serbuan, ada antara wanita asing yang sedang bersama pelanggan mereka sebelum terkejut dengan kehadiran anggota penguatkuasa.
Selain itu, ada juga yang enggan beri kerjasama untuk membuka pintu.
Utusan Malaysia difahamkan, premis terbabit menawarkan beberapa pakej layanan wanita sehingga harga RM580.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi Op Gegar ke atas dua premis ini bertindak menahan 15 individu berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun hasil pemeriksaan 26 orang.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan terbabit, 13 ialah wanita warga asing disyaki pekerja di premis terbabit.
“Semakan dokumen mendapati wanita ini terdiri daripada tujuh Vietnam, Thailand (3 orang), Indonesia (2 orang) dan seorang Laos.
“Tangkapan selebihnya membabitkan lelaki berperanan sebagai penjaga premis dan kapten,” katanya di sini.
Tegas beliau, kesemua wanita yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
































