Redonah bergambar bersama Exco Wanita Gagasan Rakyat.
KOTA KINABALU: Jentera Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak terlalu yakin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda menegaskan bahawa kemenangan sebenar hanya dapat diraikan setelah pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat pada malam hari pengundian.
“Dalam apa juga gerak kerja pilihan raya, semua lapisan kepimpinan parti perlu mengelak daripada bersikap terlalu yakin. Kemenangan hanya boleh disahkan selepas pengisytiharan rasmi SPR pada malam pengundian PRN17 nanti.
“Sejarah pilihan raya menunjukkan bahawa apa sahaja boleh berlaku. Corak pengundian rakyat seringkali kompleks dan sukar diramal. Ramalan boleh berubah 360 darjah,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita Gagasan Rakyat di Alamesra, di sini, kelmarin.
Mesyuarat itu turut dihadiri Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh (Darau); Penolong Setiausaha, Fahzean Mohidin (Kawang); Ketua Penerangan, Senator Datuk Anna Bell Perian serta barisan exco wanita parti.
Redonah berkata, pelbagai faktor boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, termasuk sehingga ke saat akhir sebelum hari mengundi.
“Tiada sesiapa pun boleh mendabik dada bahawa mereka pasti akan menang. Kemenangan pada PRN lepas juga tidak wajar dijadikan ukuran kerana ia mungkin bukan disebabkan kekuatan parti, tetapi kerana rakyat mahu memberi peluang.
“Jika kita tersalah langkah, undi boleh berpindah kepada pihak lawan. Oleh itu, jentera perlu menyusun strategi awal, mantap dan berkesan agar sokongan rakyat kekal sehingga ke hari pengundian,” tegasnya.
Beliau bagaimanapun yakin bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat untuk terus mentadbir, berdasarkan rekod pencapaian semasa.
“Apa yang penting kini ialah memastikan pemikiran rakyat tidak terpesong oleh dakyah pembangkang. Kita perlu bekerja keras agar mandat terus diberikan kepada GRS.
“Gerakan Wanita pula perlu lebih agresif dalam mendekati rakyat dan pengundi. Ini menuntut perancangan yang rapi, kecekalan serta kesabaran yang tinggi. Tiada gerak kerja yang mudah kerana setiap usaha pasti berdepan cabaran,” katanya.


































