Ahmad Jailani (tengah) ketika mendengar taklimat sempena Kembara Kerjaya SPA @ Pulau Pinang 2025 di Butterworth, Pulau Pinang kelmarin.
BUTTERWORTH : Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) yakin minat golongan belia terhadap sektor perkhidmatan awam kekal tinggi, dengan jumlah permohonan dijangka mencecah sehingga 1.3 juta tahun ini meskipun jawatan yang ditawarkan tidak lagi disertakan dengan skim pencen.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, walaupun dasar baharu itu masih di peringkat penilaian, namun, jumlah permohonan jawatan kosong yang diterima ketika ini amat menggalakkan.
“Kalau tahunan kita terima sehingga 1.2 juta permohonan dan mungkin tahun ini boleh capai hingga 1.3 juta.
“Permintaan untuk menyertai perkhidmatan awam masih lagi tinggi, malah, ramai yang berminat walaupun tiada lagi skim pencen.
“Oleh itu, kami turut mempelbagaikan program dan turun padang untuk memastikan golongan belia yang sedang mencari pekerjaan memperolehi maklumat terkini berkaitan jawatan kosong yang ditawarkan melalui SPA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kembara Kerjaya SPA @ Pulau Pinang 2025 di Perai, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain Pulau Pinang, program yang sama turut berlangsung di beberapa lokasi iaitu di Sabah, Sarawak dan Terengganu sepanjang enam bulan lalu.
“Program ini akan turut diadakan di Kelantan, Putrajaya, Melaka, Perak, Johor serta Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai terutamanya golongan beliau memperolehi maklumat yang diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan.
































