Hajiji mengiringi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Musa Aman dan kenamaan lain menyempurnakan upacara memotong kek pada Majlis Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu malam ini.
KOTA KINABALU: Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri hari ini, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan bertujuan meningkatkan tahap pembangunan dan kemajuan negeri, termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya, yang menjadi asas keperluan rakyat dan negeri, akan tetap diberikan keutamaan khusus untuk diperbaiki, dinaik taraf dan pertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pegawai Kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah cekap dan telus serta menggalakkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan prinsip rakyat sebagai pelanggan utama dalam sektor awam.
“Dalam zaman yang serba moden dan canggih ini, penyampaian perkhidmatan bukan sahaja perlu pantas tetapi juga harus bersifat responsif, tepat dan inklusif. Perkhidmatan awam yang cekap, itulah yang diinginkan rakyat dan pada masa sama, menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini malam ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, jemaah Kabinet Negeri dan kenamaan lain.

Hajiji menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Musa Aman di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu malam ini.
Ketua Menteri mahu semua pihak daripada barisan kepimpinan negeri sehinggalah kepada anggota perkhidmatan awam agar sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan setia, berdedikasi dan berintegriti.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Negeri hendaklah digalas dengan sepenuh hati dan dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan.
“Matlamat utama kita ialah memastikan negeri ditadbir urus dengan cekap demi
menjayakan proses pembangunan yang lancar sebagaimana yang dikehendaki dan diharapkan oleh kita semua.
































