KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup sementara beberapa jalan utama di pusat bandar Kota Kinabalu pada hujung minggu ini bagi memberi laluan kepada perarakan sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Kasim Muda berkata, penutupan jalan secara berkala dan kekal akan bermula pada Sabtu, 21 Jun 2025 seawal jam 5 pagi hingga 10 pagi, bagi memastikan kelancaran acara yang dijangka melibatkan 80 kontinjen perbarisan dan lebih 10,000 peserta di Padang Merdeka.
“Lima laluan utama yang akan ditutup ialah Bulatan Bunga Raya, Bulatan Capital (Bandaran), Simpang Tiga Bukit Bendera, Jalan Dewan dan simpang Jalan Padang berdekatan KFC Bandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laluan alternatif melalui KK Bypass akan digunakan sepenuhnya sebagai jalan utama untuk kenderaan masuk dan keluar yang membawa kontinjen perbarisan, menteri-menteri, ketua-ketua jabatan dan tetamu kehormat.
Menurutnya, perarakan rasmi akan bermula dari Jalan Dewan dan Jalan Istana sebelum berakhir di Padang Merdeka, manakala Jalan Padang akan digunakan sebagai kawasan parkir khusus bagi kenderaan jemputan.
Kasim turut menasihati orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sepanjang laluan terlibat bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran majlis perarakan.
“Kerjasama dan toleransi semua pihak amat kami hargai demi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan yang penuh bermakna ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Kinabalu di talian 088-529288.


































