PETALING JAYA: Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia naik sebanyak tujuh sen seliter bermula tengah malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi kenyataan Kementerian Kewangan, kenaikan tersebut menyaksikan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM3.14 seliter berbanding RM3.07 seliter minggu lalu, manakala diesel meningkat daripada RM2.74 kepada RM2.81 seliter.
“Penetapan harga itu berkuat kuasa bagi tempoh 19 Jun hingga 25 Jun 2025, selaras dengan pelaksanaan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang disemak setiap minggu.
“Bagaimanapun, harga petrol RON95 kekal pada kadar RM2.05 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah iaitu RM2.15 seliter,’ katanya.
Kata kenyataan itu, walaupun berlaku kenaikan, harga diesel di Semenanjung Malaysia masih lebih rendah berbanding paras harga apungan penuh RM3.35 seliter yang diumumkan pada 10 Jun lalu.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit dengan mengambil kira pergerakan harga minyak mentah dunia serta menyokong kestabilan harga dalam negara,” jelas kenyataan itu.






























