Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membelanjakan hampir RM4 bilion bagi membaiki jalan-jalan di seluruh negara termasuk di lokasi yang sering berlaku kemalangan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembaikan jalan perlu dilakukan secara berperingkat kerana tiada peruntukan sebesar itu.
Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengenal pasti jalan-jalan berisiko dan sedang mengambil tindakan lanjut seperti membaiki jalan-jalan tersebut secara berperingkat.
“Sebenarnya, kita sudah ada maklumat semua jalan (yang rosak dan berisiko), kita juga tahu berapa keperluan dari segi kewangan sekiranya kita mahu elokkan semua jalan, kita perlukan hampir RM4 bilion.
“Tetapi, kita tidak mempunyai kewangan (sebesar) itu, jadi kita buat (secara) berperingkat. Memang sudah dalam data kita, kita sudah tahu (di) mana jalan yang teruk,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 anjuran Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid di sini, kelmarin.
Majlis tersebut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Alexander berkata, peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan setiap tahun kepada KKR digunakan untuk memperbaiki jalan mengikut keutamaan.
“Dalam peruntukan yang diberi (iaitu) dari tahun ke tahun, kita buat mengikut keutamaannya, (jika) keperluan (jalan) itu besar, itu yang kita buat terlebih dahulu.
“Sebab itu ada (jalan) yang rosak tetapi tidak beberapa kritikal, kita (laksana) kemudian kerana mahu buat (jalan) yang (sudah) kritikal,” jelasnya.
Alexander berkata, KKR mengambil maklum pandangan semua pihak termasuk mengenai sistem penghadang jalan beroda seperti dilaksanakan oleh Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
“Kita ambil pandangan daripada semua pihak, dari rakyat dan semuanya. Kita boleh lihat cadangan-cadangan itu dan boleh bincang tentang hal tersebut, buat kajian dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, sebanyak RM55 juta boleh digunakan oleh KKR tahun ini bagi melaksana kerja-kerja naik taraf dan pembaikan infrastruktur sedia ada.
“Kita ada perancangan sebenarnya, sebab itu dalam 2025, masih ada RM55 juta untuk kita buat penambahbaikan jalan.
“Ini termasuk membuat pemasangan 385 lampu dan garisan jalan. Tempoh pemasangan akan berlangsung dari sekarang hingga hujung tahun ini,” katanya.






























