Tun Musa (tiga dari kanan) bersalaman dengan Dr. Joachim selepas upacara memotong kek.
KOTA KINABALU: Usaha menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif terus diambil bagi memelihara dan memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, ia penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita memastikan budaya tempatan agar kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang.
Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.
“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai dan tradisi sesebuah masyarakat. Oleh itu, saya berharap Persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus begitu sahaja.
“Dalam masa sama, budaya etnik ini juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini. Sudah pasti ini akan membantu usaha Kerajaan yang menyasarkan 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Tun Musa (sembilan dari kanan), diiringi Dr. Joachim (tujuh dari kiri), merakamkan gambar kenangan dengan semua Presiden Persatuan Etnik yang telah menerima Sijil Penghargaan Pemeliharaan Bahasa Ibunda.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Turut hadir isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, Hari Etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan etnik yang ada di negeri ini tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga terhadap warisan masing-masing.
“Semangat muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di
negeri ini. Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama.
“Inilah roh sebenar Hari Etnik Sabah. Semoga sambutan ini menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian dan seterusnya memperkukuh semangat kekitaan di bumi Sabah yang tercinta ini,” katanya.






























