Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan isyarat bagus terhadap program yang dijalankan
RANAU: Seramai 100 orang belia yang merupakan usahawan muda luar bandar dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan menerima bantuan keusahawanan berjumlah RM500 seorang menerusi Program Outreach YAB Ketua Menteri Bersama NGO & Usahawan Muda Sabah yang diadakan di sini baru-baru ini.
Bantuan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan.
Menurut Abidin, program ini merupakan inisiatif julung kali diadakan oleh Kerajaan Negeri khusus bagi membantu belia yang tidak mempunyai dokumen rasmi perniagaan, sama ada untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil mereka.
“Hari ini Kerajaan Negeri telah menetapkan untuk membantu usahawan-usahawan muda yang sememangnya mempunyai prospek tinggi untuk berjaya dalam bidang diceburi.
Ada di kalangan mereka yang sudah memulakan perniagaan dan ada juga yang baru bercita-cita untuk berbuat demikian.
Diharap bantuan ini dapat menjadi permulaan untuk mereka merealisasikan impian,” katanya.
Abidin berkata, bantuan ini juga mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap masa depan belia dan menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut menasihatkan para penerima agar menggunakan sumbangan itu secara bijak dan bertanggungjawab.
“Jangan sia-siakan sumbangan yang diberikan, sebaliknya belajarlah untuk menghargai setiap pendapatan.
Sikap ini merupakan salah satu ciri-ciri penting untuk menjadi usahawan yang berjaya,” kata beliau.
Abidin turut menyeru para belia untuk terus menyokong kerajaan negeri yang diterajui GRS yang menurutnya telah berjaya mengekalkan kestabilan politik serta merangsang keyakinan pelabur luar untuk melabur di Sabah.
“Kestabilan politik ini telah membolehkan Kerajaan Negeri menarik pelaburan antarabangsa, membina kilang-kilang besar dan menjana pendapatan tinggi kepada negeri.
“Hasil kemajuan ini, program seperti hari ini dapat direalisasikan di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0. Sokongan belia amat penting bagi merealisasikan pula SMJ 2.0,” katanya.
Abidin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas sokongan dan komitmen terhadap pembangunan belia, selain berterima kasih kepada penganjur serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Turut hadir, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamudin Harun, kakitangan UPPM Paginatan serta para penerima bantuan.


































