Keadaan kedai buah yang musnah dalam letupan itu.
KLANG: Suasana di Jalan Gudang Nenas, Bandar Baru Klang di sini, gempar apabila sebuah kedai buah-buahan musnah teruk dipercayai akibat letupan karbait, petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian itu mengakibatkan runtuhan pada struktur dinding pejabat premis dan menjejaskan enam buah kereta yang diletakkan di tepi masjid berdekatan.
Namun, tiada mangsa dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 5.21 petang.
Jelasnya, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikerah dalam operasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati letupan melibatkan belakang kedai buah yang berkeluasan 70 x 100 kaki persegi.
“Impak daripada letupan itu, struktur dinding pejabatnya berkeluasan 30 x 30 kaki persegi runtuh,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, siasatan awal mendapati letupan dipercayai berlaku akibat karbait yang digunakan untuk mempercepatkan buah masak.
“Insiden itu turut menyebabkan enam kereta di kawasan masjid turut terkesan.
“Namun, ia tidak melibatkan sebarang mangsa di lokasi tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, punca sebenar kejadian masih sedang disiasat lanjut pihaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat.


































