Ellron menyempurnakan gimik pelancaran projek itu.
SOOK: Masalah bekalan air yang sekian lama membelenggu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit akhirnya menemui titik penyelesaian apabila sistem bekalan air baharu mula dipasang secara rasmi hari ini.
Majlis Pelancaran Pemasangan Sistem Bekalan Air SMK Dalit disempurnakan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin di Dewan SLDB Dalit pagi tadi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan Program Mansau Ansau Pensiangan Bersama RTM Sabah yang menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana mesra dan harmoni.
Dalam ucapannya, Ellron menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana projek tersebut akhirnya dapat direalisasikan setelah sekian lama diperjuangkan.
“Saya berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat bersama-sama anda semua pada pagi yang penuh bermakna ini. Ini bukan sekadar pemasangan sistem paip, tetapi satu langkah konkrit memastikan hak asas rakyat untuk mendapat bekalan air bersih ditunaikan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan termasuk Pejabat Daerah Sook, Pejabat Pendidikan, Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, kontraktor pelaksana dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Ellron menegaskan bahawa masalah gangguan atau kekurangan bekalan air tidak boleh dianggap remeh kerana memberi kesan besar kepada kelancaran operasi sekolah, khususnya dari aspek kebersihan, keselamatan makanan dan keselesaan murid serta guru.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa meneliti dan menjiwai keperluan asas masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan pelajar,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu juga bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada warga sekolah, malah penduduk kampung-kampung berhampiran.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada SMK Dalit dan kampung terdekat, manakala fasa kedua akan diperluas ke kawasan lain yang turut mengalami masalah serupa.
“Saya difahamkan bahawa kertas kerja dan permohonan peruntukan telah dihantar untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. Kita amat berharap agar kelulusan dapat disegerakan demi kesejahteraan masyarakat di kampung-kampung seperti Kg. Mempulut, Kg. Membulu, Kg. Kuala Puntih dan Kg. Tigasa,” katanya.
Beliau menambah, usaha membekalkan air bersih ke kawasan luar bandar telah lama diusahakan melalui siri perbincangan dengan pihak Jabatan Air Keningau.
Ellron turut memberi jaminan bahawa beliau akan terus komited memperjuangkan kemudahan asas termasuk bekalan elektrik, jalan raya, pendidikan dan kesihatan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan pedalaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas komitmen dalam menjayakan projek tersebut.
“Ini mencerminkan iltizam Kerajaan dalam memastikan pembangunan yang saksama dan menyeluruh,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru warga sekolah dan komuniti setempat agar menjaga kemudahan tersebut dengan baik supaya manfaatnya dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.
“Usaha yang besar ini hanya akan memberi manfaat berpanjangan jika ia dipelihara dan dimanfaatkan dengan baik,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Mohd. Royhaisham Abd Fattah, wakil Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah; Zainal Manaf, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau; Max Javier Bernard, wakil Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah Keningau; SM Sius Sutin, Ketua Balai Sook dan Tony Talasoi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.45 Sook.
Majlis diakhiri dengan upacara simbolik pelancaran pemasangan sistem bekalan air yang disambut penuh kesyukuran oleh para pelajar, guru dan penduduk sekitar.