Armizan (kanan) bersama Phoong semasa sesi perbincangan itu.
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum rayuan pengusaha kedai dobi berhubung pelaksanaan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang menghadkan penggunaan LPG bersubsidi bagi sektor komersial.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihak kementerian kini sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Saya maklumkan bahawa KPDN sedia maklum mengenai rayuan mereka, dan wakil kementerian sedang menjalankan sesi libat urus.
“Sebarang pertimbangan perlu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keperluan melaksanakan dasar ini secara bersasar, bukannya secara pukal tanpa mekanisme pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perbincangan dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah yang juga Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe di sini, kelmarin.
Dalam perbincangan tersebut, Phoong turut membangkitkan suara dan kebimbangan daripada sebahagian pengusaha kedai dobi di negeri ini.
Susulan kelulusan Kabinet terhadap syor KPDN untuk melaksanakan pindaan tersebut, Phoong berkata, beliau akan membantu mendapatkan pandangan daripada pengusaha makanan dan minuman berskala mikro dan kecil di Sabah.
Menurut Armizan, sebarang peruntukan undang-undang baharu kelak perlu mengimbangi keperluan memberi akses kepada peniaga kecil terhadap LPG bersubsidi dengan pelaksanaan mekanisme kawalan dan pemantauan yang berkesan.
“Langkah ini penting agar subsidi yang disediakan dapat dimanfaatkan secara bersasar dan pada masa sama mengekang risiko ketirisan,” katanya.


































