Gambar Hiasan
BEIJING: China menetapkan semua hospital bertaraf tertiari untuk menyediakan perkhidmatan bius epidural semasa bersalin menjelang akhir tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan ‘persekitaran kelahiran yang mesra’ untuk wanita.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) China minggu lalu, hospital tertiari, yang mempunyai lebih 500 katil, mesti menyediakan perkhidmatan epidural tahun ini.
Manakala, hospital sekunder, yang mempunyai lebih 100 katil, perlu memenuhi keperluan tersebut selewat-lewatnya pada 2027.
Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu, selepas populasi China menurun bagi tahun ketiga berturut-turut pada 2024.
Setakat ini, hanya sekitar 30 peratus wanita hamil di China menggunakan bius semasa proses bersalin, berbanding lebih 70 peratus di beberapa negara maju, lapor China Daily.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan epidural bagi wanita hamil yang sihat dan ingin mengurangkan kesakitan.
Kaedah itu sudah lama digunakan secara meluas, termasuk 82 peratus wanita hamil di Perancis dan 67 peratus di Amerika Syarikat (AS) serta Kanada.
NHC berkata, langkah itu akan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan perkhidmatan perubatan serta menggalakkan persekitaran kelahiran yang mesra.
Beberapa wilayah di China menyenaraikan kos anestasia bersalin sebagai sebahagian daripada perlindungan insurans perubatan bagi menggalakkan lebih ramai wanita melahirkan anak.
Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan di wilayah Sichuan, barat daya China, mencadangkan untuk melanjutkan cuti perkahwinan sehingga 25 hari dan cuti bersalin 150 hari.


































