Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyelar kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, yang mendakwa wujud krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Rosman sepatutnya berasa malu apabila Umno masih mengekalkan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Umno Sabah walaupun sedang berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
“Rakyat tahu bahawa Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad baru-baru ini gagal dalam cubaan terakhir mereka mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zulkarnain, kenyataan Rosman yang menyatakan Hajiji sedang menghadapi “krisis kepercayaan” susulan video tular beberapa ADUN menerima wang, ibarat “meludah ke langit terkena muka sendiri.”
“Realitinya, rakyat sudah lama hilang kepercayaan dan menjauhkan diri daripada Umno dan Barisan Nasional (BN), bukan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” tegasnya.
Beliau turut membidas Rosman yang menggesa Hajiji menilai semula kedudukan mana-mana anggota pentadbiran yang dikaitkan dengan skandal rasuah lesen perlombongan, sedangkan tiada sebarang pendakwaan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini.
“Sejak awal lagi, Kerajaan Negeri Sabah telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Malah, laporan polis dan kepada SPRM juga telah dibuat berhubung dakwaan oleh individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘whistleblower’,” katanya.
Tambah Zulkarnain, tindakan Hajiji membatalkan 13 lesen mineral yang diperoleh melalui pemalsuan dokumen, termasuk cubaan memohon lesen melibatkan sejuta ekar tanah, menunjukkan ketegasan dan komitmen membanteras salah guna kuasa.
“Tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Malah, keberanian Hajiji dalam menangani isu ini wajar dipuji,” katanya lagi.
Zulkarnain berkata, G57 akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti diteruskan demi kepentingan rakyat Sabah.


































