Dr. Joachim (tengah) bergambar kenangan dengan penduduk kampung serta semua yang hadir dalam sambutan Pesta Kaamatan Kg. Sinurai.
RANAU: Lebih 400 penduduk daripada lapan buah kampung telah menghadiri Taklimat dan Tinjauan Pengukuran Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bagi Zon Kilanas yang diadakan di Mini Dewan Kampung Manikulau, pada Khamis (5 Jun).
Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg. Manikulau, Kg. Paka Ulu Sugut, Kg. Kilanas, Kg. Giring Ulu Sugut, Kg. Patau, Kg. Kuala Patau, Kg. Tambaliwan dan Kg. Kawiyan.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim bersalaman dengan penduduk kampung ketika tiba di Dewan Mini Kampung Sinurai bagi Sambutan Pesta Kaamatan kampung itu.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Pemungut Hasil Tanah Daerah Ranau, Jaidi @ Adrian Gulis, bersama Penolong Jurukur Daerah selaku Pegawai Penjaga Pejabat Ukur Ranau, Sharil Waly.
Objektif utama taklimat PANTAS ini adalah untuk mengenal pasti keperluan asas, kebolehcapaian dan potensi risiko komuniti melalui pengumpulan data yang menyeluruh.

Dr. Joachim menyempurnakan upacara menyumpit sebagai gimik perasmian Sambutan Kaamatan Zon Kilanas di Dewan Mini, Kg Manikulau.
Usaha ini penting bagi memastikan segala bentuk bantuan serta perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara tepat dan berkesan.
Sehubungan itu, lebih 1,000 permohonan berkaitan pengukuran tanah akan diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau bagi tindakan lanjut di bawah inisiatif PANTAS.

Dr. Joachim (kanan) menerima cendera kenangan daripada Ketua Kampung kg Kawiyan, Pitrus Oringgit yang juga Ketua Balai Adat Mukim Kawiyan sambil disaksikan oleh Jaidi (belakang, kiri) dan Sharil.
Selepas sesi taklimat selesai, dalam program berasingan Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyantuni penduduk sempena Sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian.
Perayaan ini juga memperkukuh jati diri dan warisan budaya masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.
Pengerusi Penganjur, Ketua Anak Negeri (KAN), Aini Tampig turut merakamkan penghargaan kepada Dr Joachim atas kesudian beliau hadir.
Katanya, kehadiran Timbalan Ketua Menteri merupakan lambang sokongan kuat terhadap pembangunan akar umbi dan pengukuhan budaya masyarakat setempat.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pesta Kaamatan peringkat Kampung Lobou Timbua.
Selepas itu, Dr. Joachim juga menghadiri Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Lobou Timbua yang di adakan di balairaya kampung dan beramah mesra dengan penduduk kampung di situ.
Manakala, pada Jumaat (6 Jun) Dr. Joachim turut menghadiri dan menyantuni penduduk kampung pada Pesta Kaamatan di Dewan Mini di Kampung Sinurai.
Selain itu, beliau turut bertemu dengan para belia di Kg. Tanid Melinsau bagi sesi soal jawab diadakan mengenai penglibatan belia dalam kegiatan pertanian di situ.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dounis Sani; para Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung (KK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


































