Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas kenyataan Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang mendakwa Umno bukan “alat politik”, “pelengkap skrip” atau “pembeli janji palsu”.
Menurut Nizam, kenyataan tersebut dianggap ironi kerana datang daripada parti yang didakwanya mempunyai sejarah panjang menulis skrip politik penuh kelompongan, khususnya di Sabah.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, sejarah telah membuktikan siapa yang sebenarnya memungkiri perjanjian dan prinsip moral. Hanya dua hari sebelum penamaan calon, Umno dan Barisan Nasional bersetuju bertanding di 27 kerusi, tetapi akhirnya bertanding di 41 kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan ADUN Apas berkata, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar persefahaman, malah menjadi punca awal keretakan dalam gabungan politik yang dibentuk ketika itu.
Beliau menegaskan, jika Umno mahu bercakap soal maruah dan pengkhianatan, mereka perlu terlebih dahulu mencerminkan sejarah sendiri.
Beliau turut menyanggah pandangan Musliati yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanyalah serpihan parti-parti lain.
“Dalam mana-mana gabungan politik, parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak wajar diberi keutamaan untuk mengetuai kerajaan. GRS memperoleh bilangan kerusi tertinggi dan layak memilih Ketua Menteri Sabah. Itu bukan pengkhianatan, itu asas demokrasi,” tegasnya.
Nizam turut mempersoalkan keengganan Musliati menyentuh insiden ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023, yang melibatkan percubaan beberapa pemimpin Umno, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin, menggulingkan Kerajaan Negeri sedia ada.
“Tindakan itu bukan sahaja menggugat kestabilan negeri, malah memperjudikan mandat rakyat. Maka, tindakan menggugurkan mereka daripada Kabinet dan agensi berkaitan adalah prerogatif Ketua Menteri demi menjaga kestabilan dan kepentingan negeri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan Umno Sabah perlu menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi “abang besar” dalam landskap politik negeri mahupun nasional.
“Umno kini tenggelam dalam kehilangan sokongan. Di Sabah, rakyat sudah serik dengan skrip lama yang hanya menukar pelakon tetapi mengekalkan jalan cerita sama,” katanya.
Nizam berkata, Kerajaan GRS kini memilih untuk terus ke hadapan dengan membina kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan demi menjamin kestabilan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menghadapi PRN akan datang.
“Akhirnya, kuasa sebenar tidak terletak pada mana-mana tokoh atau parti, tetapi di tangan rakyat. Biarlah rakyat Sabah menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai berdrama,” katanya.
































