Phoong (tengah) bersama Wong dan VIP yang lain.
KOTA KINABALU: SAIP Sdn Bhd telah mengambil langkah penting ke arah pengkomersialan Sabah Agro-Industrial Park (SAIP) dengan menandatangani dua perjanjian sewa.
Tiga kemudahan utama iaitu Fasiliti Pemprosesan Herba (HPF), Fasiliti Pengeluaran Produk (PLF), dan Makmal Kosmetik, dijadualkan untuk memulakan operasi pada 1 Jun 2025.
HPF dan PLF akan disewa oleh Callabio Manufacturing Sdn Bhd, yang akan menjadi pengeluar produk nutraseutikal, farmaseutikal, produk makanan, ubat-ubatan berasaskan herba dan minuman isotonik di Sabah. Sementara itu, Makmal Kosmetik akan disewa oleh Sanomedical Asiapac Sdn Bhd, yang akan berperanan sebagai pengendali pembuatan produk perubatan di Sabah.
Dengan penglibatan dua syarikat ini dalam industri pembuatan dan pengeluaran di Sabah, SAIP dijangka dapat merangsang pasaran tempatan dan dapat memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menggalakkan penyertaan usahawan tempatan bagi menghasilkan produk siap yang diperakui sepenuhnya.
Selain itu, kemasukan syarikat-syarikat ini juga dijangka akan meningkatkan peluang pekerjaan di Sabah selaras dengan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh dua Pengarah SAIP Sdn Bhd, Datuk Ar James Wong dan Datuk Dr Ts Ramzah Dambul. Callabio Manufacturing Sdn Bhd pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Shahir Suhaimi, manakala Sanomedical Asiapac Sdn Bhd diwakili oleh Pengurus Besarnya, Helgah Veronica Smith Lagadan. Kedua-dua syarikat juga telah masing-masing menyerahkan deposit sebanyak RM125,000 dan RM100,000 sebagai komitmen bagi memulakan operasi di SAIP.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan yang juga Pengerusi SAIP Sdn Bhd, Datuk Phoong Jin Zhe yang sangat berpuas hati dengan kemajuan ini dan mengucapkan setinggi tahniah kepada pengurusan SAIP atas pencapaian ini.
Semasa majlis tersebut, CAIQ Biosecurity Sdn Bhd turut membentangkan cadangan perniagaan untuk mewujudkan usahasama dengan SAIP dengan matlamat untuk menjadikan taman perindustrian ini sebagai pusat utama bagi ujian, pemeriksaan, dan pendaftaran produk makanan, suplemen, pertanian, dan akuakultur dari Sabah untuk dieksport ke China.


































