PESHAWAR: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun maut selepas dipukul dengan kejam menggunakan sebatang kayu oleh guru besarnya dalam satu insiden di sebuah sekolah swasta di daerah Khyber, utara Pakistan pada Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Khyalmat Khan, dilaporkan dipukul bertubi-tubi di kepala, leher, muka dan belakang badan oleh guru besar sekolah berkenaan, Waqar Ahmed, ketika perhimpunan pagi berlangsung.
Menurut laporan media tempatan, Khyalmat mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Khyber, Rai Mazhar Iqbal dalam satu kenyataan mengecam perbuatan tersebut sambil menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan yang mencemarkan martabat profesion perguruan.
“Keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita tidak akan sesekali ditoleransi dalam apa jua keadaan. Tidak ada sesiapa yang berhak menyalahgunakan peranan mulia sebagai seorang pendidik untuk melakukan kekejaman sedemikian,” katanya.
Katanya, guru sepatutnya menjadi penjaga rohani kepada anak-anak didik, namun perbuatan suspek jelas telah mengkhianati amanah serta mencemarkan kesucian profesion sebagai pendidik.
Waqar Ahmed kini ditahan pihak polis dan siasatan lanjut dijalankan.
Insiden menyayat hati itu mencetuskan kemarahan masyarakat setempat dengan ramai ibu bapa tampil mendesak pihak berkuasa tempatan agar segera mengharamkan sepenuhnya hukuman fizikal terhadap pelajar di sekolah-sekolah.
Kejadian tersebut berlaku walaupun kerajaan Pakistan sebelum ini sudah meluluskan undang-undang di Islamabad pada tahun 2021 yang secara rasmi mengharamkan sebarang bentuk keganasan terhadap kanak-kanak.


































