WASHINGTON: Lebih 100 tan daging lembu keluaran Hormel Foods tdipanggil balik secara serta-merta di seluruh Amerika Syarikat selepas didapati mengandungi serpihan kayu yang berisiko mencederakan pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat berpengkalan di Minnesota itu yang terkenal dengan produk seperti Spam dan Old Smokehouse, menarik balik produk Dinty Moore Beef Stew selepas menerima tiga aduan daripada pengguna.
Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberi amaran kehadiran objek asing keras atau tajam seperti kayu dalam makanan boleh menyebabkan kecederaan serius termasuk luka pada mulut, lidah, tekak, perut serta usus, selain merosakkan gigi dan gusi.
Produk yang terlibat ialah tin Dinty Moore Beef Stew bersaiz 20 auns dengan label bertarikh luput “Best by Feb 2028” dan kod lot “T02045”.
Kod ini mungkin mempunyai angka tambahan di hujungnya. Tin berkenaan juga tertera nombor pemeriksaan “EST 199G”.
Menurut Perkhidmatan Pemeriksaan dan Keselamatan Makanan (FSIS), produk itu telah diedarkan ke pasar raya di seluruh negara dan tidak selamat untuk dimakan dan orang ramai dinasihatkan supaya membuang atau memulangkan produk yang terjejas ke premis pembelian.
“Walaupun serpihan kecil kadangkala boleh melalui sistem penghadaman tanpa menyebabkan masalah, serpihan besar atau tidak sekata boleh membawa risiko seperti tercekik, luka pada tekak, ulser, lubang pada saluran penghadaman dan bahkan boleh membawa maut,” kata FSIS.
Setakat ini, belum ada laporan kecederaan atau kematian disahkan akibat pengambilan produk tersebut, namun saiz sebenar serpihan kayu yang dikesan masih belum diketahui.
Pencemaran kayu dalam makanan boleh berlaku menerusi pelbagai cara termasuk penggunaan palet kayu semasa penyimpanan dan pengangkutan atau penggunaan alat kayu dalam proses pemprosesan makanan.
Sementara itu, Hormel Foods dalam kenyataannya menegaskan tiada produk lain di bawah jenamanya yang terjejas oleh insiden ini.


































