LONDON: Seorang lelaki warga Britain dikhuatiri hilang ketika mengembara secara solo di ibu kota, dengan lokasi terakhir dia dikesan di sebuah premis hiburan di Bangsar pada 27 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Daily Mail melaporkan, Jordan Johnson-Doyle, 25, kali terakhir berhubung dengan keluarganya pada 27 Mei lalu apabila menghantar gambar poster acara kuiz anjuran pusat hiburan dikunjungi kepada rakannya, sekitar pukul 8 malam.
Dia dilaporkan tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas mengembara ke beberapa negara Asia Tenggara dan dipercayai menginap di sebuah residensi di kawasan Bukit Bintang.
Ibunya, Leanne Burnett, memaklumkan komunikasi terakhir bersama anaknya berlaku pada 26 Mei dan sejak itu tiada sebarang perkembangan diterima.
Dia berasa tidak sedap hati selepas telefon anaknya gagal dikesan menerusi sistem ‘Find My iPhone’ dan lokasi terakhir yang dicatatkan ialah berhampiran blok kediaman di kawasan sama.
“Saya berasa sangat cemas dan bingung. Saya hanya mahu ke sana, mencarinya dan membawanya pulang ke rumah.
“Saya tahu dia tidak akan membiarkan kami tertanya-tanya terlalu lama. Jika dia kehilangan telefon dan komputer sekali pun, dia tahu nombor saya dan pasti akan cari jalan untuk hubungi,” katanya.
Leanne berkata, cubaan menghubungi anaknya menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial dan aplikasi mesej tidak berjaya sebelum telefon bimbitnya tidak lagi aktif pada 30 Mei.
Laporan polis sudah dibuat kepada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) dan Konsulat Britain di Kuala Lumpur.
Bapa Jordan berlepas ke Kuala Lumpur, semalam manakala beberapa ahli keluarga dan rakan rapat turut dijadual menyusul bagi meneruskan pencarian.
Keluarga juga berusaha mendapatkan bantuan awam dengan menyebarkan maklumat kehilangan di pelbagai saluran komunikasi dan laman sosial.


































