BRUSSELS: Eropah bersedia untuk bertindak balas terhadap rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium.
Menurut Utusan Malaysia, perkembangan itu sekali gus meningkatkan kemungkinan pertikaian perdagangan yang semakin meruncing antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Suruhanjaya Eropah meluahkan kekesalan dengan rancangan Trump untuk menaikkan tarif tersebut, dan menegaskan tindakan tersebut menganggu usaha untuk mencapai penyelesaian yang dirundingkan.
“Keputusan ini menambah ketidaktentuan kepada ekonomi global dan meningkatkan kos bagi pengguna serta perniagaan di kedua-dua belah Atlantik,” kata jurucakap Suruhanjaya Eropah.
Katanya, Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini menangguhkan langkah balasnya bagi memberi ruang kepada rundingan yang berterusan.
“Suruhanjaya Eropah kini sedang memuktamadkan rundingan mengenai langkah balas yang diperluaskan.
“Sekiranya tiada penyelesaian yang diterima bersama dicapai, langkah EU yang sedia ada dan tambahan akan secara automatik berkuat kuasa pada 14 Julai atau lebih awal mengiku keperluan,” katanya.
Pengumuman Trump pada Jumaat lalu untuk menaikkan tarif import keluli dan aluminium kepada 50 peratus, dibuat hanya beberapa jam selepas beliau menuduh China melanggar perjanjian dengan AS untuk saling membatalkan levi serta sekatan perdagangan bagi mineral kritikal.
Presiden AS itu mengumumkan kenaikan tarif tersebut di luar Pittsburgh, di mana beliau membincangkan perjanjian antara Nippon Steel dan US Steel.
Trump berkata, perjanjian bernilai AS$14.9 bilion (RM63.4 bilion), sama seperti kenaikan tarif, akan membantu mengekalkan pekerjaan bagi pekerja keluli di AS.
Beliau kemudian memuat naik di media sosial bahawa tarif yang dinaikkan juga akan dikenakan ke atas produk aluminium dan akan berkuat kuasa pada 4 Jun.


































