Muammar Ghadafi
TAMPARULI : Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi berkata, isu gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan modal untuk menyalahkan Kerajaan Negeri Sabah atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, semua pihak perlu memahami fakta sebenar sebelum membuat sebarang tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat serta mencetuskan persepsi negatif terhadap pihak yang tidak terlibat.
“Peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi menangani isu bekalan air di UMS telah disalurkan terus oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada pihak pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muammar berkata, segala urusan pelaksanaan projek termasuk proses tender dan pelantikan kontraktor adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab UMS sendiri, bukan agensi atau jabatan di bawah Kerajaan Negeri Sabah.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sendiri telah mengesahkan perkara ini dalam kenyataan media rasmi beliau bertarikh 9 Januari 2024.
“Maka jelas, tiada penglibatan langsung Kerajaan Negeri dalam hal ini, sama ada dari segi pentadbiran mahupun kewangan,” tambah beliau.
Muammar turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba memanipulasi isu ini untuk meraih keuntungan politik sempit dengan menyebarkan maklumat tidak tepat kepada rakyat.
“Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah menggambarkan salah faham terhadap struktur tadbir urus antara Kerajaan Persekutuan dan institusi pengajian tinggi awam,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa tumpuan semua pihak sepatutnya diberikan kepada usaha mencari penyelesaian dan memastikan kebajikan pelajar serta warga kampus terus terpelihara.
“UMS merupakan institusi pengajian tinggi awam yang mempunyai autonomi dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan projek dalaman.
“Maka, sekiranya terdapat kelewatan atau isu teknikal, kritikan haruslah ditujukan kepada pihak yang benar-benar bertanggungjawab,” jelasnya.
Muammar menyeru agar semua pihak berhenti memainkan naratif yang tidak berasas dan sebaliknya berganding bahu mencari penyelesaian terbaik demi manfaat bersama.
“Kita perlu matang dalam berpolitik. Jangan jadikan masalah rakyat sebagai bahan politik murahan. Yang penting sekarang ialah memastikan projek ini diselesaikan segera demi kesejahteraan para pelajar dan kakitangan UMS,” katanya.


































